Pada perasmian tersebut juga beliau telah memperkenalkan satu wadah perniagaan baharu yang dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) sebagai alternatif kepada para peniaga untuk memulakan perniagaan. PLT yang telah diluluskan oleh Dewan Negara menggabungkan kriteria sesebuah syarikat dan firma perniagaan yang memberikan perlindungan terhadap liabiliti terhad kepada ahli-ahli dan urusan dalaman yang lebih fleksibel.
Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PLT membolehkan golongan peniaga membuat pilihan untuk menggunakan wadah perniagaan yang lebih fleksibel dari segi penubuhan, pelaksanaan, pematuhan dan penggulungannya. Selain itu, kata beliau, konsep PLT juga akan menyokong perniagaan baru, industri kecil dan sederhana serta golongan profesional untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu bimbang terhadap libiliti dan aset peribadi.
Beliau menambah, pengenalan PLT bertujuan untuk melengkapi pilihan tradisi bentuk perniagaan sedia ada seperti pemilikan tunggal dan perkongsian, maka ia dianggap sebagai memberi golongan peniaga dan pelabur kelonggaran dan kebebasan untuk memilih model perniagaan yang terbaik dan menepati keperluan mereka berdasarkan kriteria komersial. Melalui pengenalan PLT ini orang ramai akan mendapat lebih banyak pilihan untuk menjalankan perniagaan yang tidak hanya tertumpu kepada bentuk perniagaan bercorak tradisional seperti penubuhan syarikat, milikan tunggal, perkongsian atau firma perkongsian.
Inisiatif yang dilaksanakan SSM akan menjadikan negara lebih kompetitif dalam menghadapi era globalisasi yang sejajar dengan kehendak kerajaan ke arah memendekkan prosedur, mengurangkan kos pentadbiran dan permintaan pematuhan untuk memudahkan urusan perniagaan golongan komuniti peniaga.
Disediakan Zahari Hasan. Sumber Suruhanjaya Syarikat Malaysia.